Showing posts with label PERTUKARAN MATAWANG. Show all posts
Showing posts with label PERTUKARAN MATAWANG. Show all posts
Thursday, 2 October 2014
Operasi Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik: Satu Sorotan dari Sudut Syariah Wan Operasi Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik: Satu Sorotan dari Sudut Syariah
Operasi Spot Forex: Halal Atau Haram?
Dewasa ini perdagangan spot forex secara individu melalui platform elektronik semakin popular dan ia menjadi sumber pendapatan sampingan banyak pihak. Fenomena ini disemarakkan lagi dengan perkembangan teknologi serta kemudahan akses internet di serata dunia. Masyarakat Islam umumnya dan di Malaysia khususnya turut terlibat dalam perdagangan spot forex secara online.
Namun, masih ramai umat Islam yang syak dan ragu-ragu tentang kesahihan aktiviti ini dari sudut syarak kerana beberapa faktor, antaranya kadar kerugian yang dialami oleh pedagang spot forex amat tinggi, ketidakpastian tentang operasi sebenar spot forex dan terdapat peruntukan undang-undang yang melarang pembabitan masyarakat Malaysia dalam transaksi forex kecuali melalui peniaga-peniaga yang diberi kuasa (authorised dealers) atau institusi-institusi kewangan yang dibenarkan atau peniaga-peniaga bukan bank yang terpilih sahaja.
Bagi menjawab dan mencari jawapan kepada isuperdagangan spot forex secara individu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Akademi Antarabangsa Kajian Syariah Dalam Kewangan Islam (ISRA), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Persatuan Institusi-institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) telah berjaya mengadakan Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia Kali Ke-7, pada 31 Mei 2011 bertempat di Dewan B1, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Operasi Spot Forex secara individu melalui platform internet merupakan fokus utama perbincangan dalam muzakarah kali ini.
Muzakarah telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B); Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Muzakarah kali ini telah dipengerusikan Tan Sri Dato’ Sheikh Ghazali bin Ab Rahman. Turut serta dalam muzakarah kali ini, pakar rujuk muzakarah iaitu SS Dato’ Haji Hassan bin Haji Ahmad. Seramai 200 orang peserta yang terdiri dari kalangan panel penasihat syariah bank dan takaful, ilmuan Shariah, ulama, ahli ekonomi, pegawai syariah bank, dan peguam telah turut serta dalam muzakarah kali ini.
Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan sepanjang muzakarah ini iaitu:
- Kefahaman Umum Terhadap Perdagangan Mata Wang (Forex) dan Kedudukannya Dalam Syarak yang dibentangkan oleh Dr. Asmadi bin Mohamed Naim (UUM)
- Perdagangan Mata Wang (Forex) dan Pandangan Syarak Mengenai Pegendaliannya yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad @ Md. Som bin Sujiman dari ISRA.
- Perdagangan Mata Wang (Forex) Kedudukannya Dalam Undang-undang dan Kesannya ke atas Ekonomi yang dibentangkan oleh Puan Fakihah binti Azahari dari Tetuan Nik Hisyam, Fakihah & Co
Melalui muzakarah sehari ini lima rumusan muzakarah telah diputuskan antaranya “Jual beli matawang diharuskan oleh syarak, namun perlu mematuhi dawabit tertentu selain menggelakkan unsur-unsur-unsur syibh riba, tipu daya, judi, qabd yang tidak jelas dan gharar dalam operasi spot forex secara individu melalui platform elektronik. Operasi spot forex ini juga didapati tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia”.
Bagi Makluman lanjut Berhubung Muzakarah, sila layari portal e-muamalat dihttp://www.islam.gov.my/muamalat/.
Friday, 21 December 2012
Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik
Keputusan
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum
Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual
Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan
seperti berikut:
Setelah mendengar
taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah
Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah
dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot
forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata
wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang
perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay
al-Sarf seperti berikut:
Syarat-syarat umum
jual beli:
1.
Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan
kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);
2.
Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh
kedua-dua pihak yang berakad;
3.
Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki
sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
4.
Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua
pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan
dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat-syarat
khusus Bay al-Sarf:
1.
Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang
terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan
transaksi berpisah daripada majlis akad;
2.
Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan
tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
3.
Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar
al-Syart.
Selain memenuhi
syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur
riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan
transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau
eksploitasi.
Berdasarkan kajian
terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot
forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui
pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang
melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan
mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian.
Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu,
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing
(forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom
elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan
kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras
dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam
perdagangan mata wang seumpama ini.
Muzakarah juga
menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus
niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan
urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh
institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.
Forex Perniagaan Kontroversi
Oleh SHARAIMEI
SHAIK AHMEDULLAH
PASTINYA ramai di antara kita pernah mendengar dan terjebak dalam
perdagangan matawang asing atau lebih dikenali sebagai 'forex'.
Sememangnya perniagaan tersebut cukup popular di kalangan masyarakat
hari ini kerana pulangannya yang cukup lumayan sehingga mampu mencecah ribuan
ringgit sebulan.
Forex ialah aktiviti yang melibatkan urusniaga satu matawang kepada
matawang yang lain. Para peniaga matawang asing mendapat keuntungan melalui
perbezaan harga beli dan harga jual sesuatu matawang.
Secara umumnya aktiviti tersebut dilakukan dengan beberapa kaedah.
Antaranya melabur dalam syarikat yang menjalankan forex di mana suatu jenis
perdagangan atau transaksi yang memperdagangkan matawang sesuatu negara
terhadap matawang negara yang lain selama 24 jam secara berterusan.
Atau kaedah lain pula ia dijalankan secara sendirian. Iaitu dengan
melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan
simpan.
Namun, tidak ramai yang mengetahui hukum menyertai perniagaan tersebut
sama ada dibolehkan atau sebaliknya.
Sebenarnya banyak pakar kewangan Islam ada membincangkan berkenaan
menyertai aktiviti tersebut. Bagaimanapun akibat tiada fatwa khusus yang
dikeluarkan.
Berdasarkan Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi
Kewangan Islam Malaysia yang bersidang baru-baru ini ada membincangkan secara
langsung hukum perniagaan itu.
Muzakarah tersebut dibahaskankan oleh dua kumpulan melalui tiga
pembentangan iaitu kumpulan pertama terdiri daripada penyelidik Akademi
Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Profesor Madya
Dr. Muhammad Som, Dr. Marjan Muhammad, Luqmanul Hakim Hussain dan Wan Norhaziki
Wan Abdul Halim.
Kumpulan kedua pula dianggotai penyelidik dari Universiti Utara Malaysia
iaitu Profesor Madya Dr. Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib dan Dr.
Muhammad Nasri Hussain.
Hasil daripada pembentangan kedua-dua kumpulan itu telah membangkitkan
beberapa isu penting yang menyebabkan aktiviti tersebut tidak dibenarkan dari
segi hukum syarak kerana terdapat unsur-unsur riba dan perjudian yang jelas
dilarang dalam Islam.
Muzakarah oleh kumpulan pertama itu membincangkan mengenai perdagangan
matawang individu secara lani (individual spot forex) yang dijalankan melalui
platform Internet.
Secara umumnya, untuk seseorang individu memulakan perdagangan matawang
asing secara dalam talian (online), beberapa perkara perlu disediakan iaitu
talian Internet, platform matawang asing dan akaun kewangan.
Lalu isu syariah yang timbul daripada spot forex itu apabila
diperincikan kepada syarat-syarat jual beli matawang asing antaranya pinjaman
(leverage atau qard), caj broker (rollover interest), penerimaan (Qabd),
menjual matawang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan
perjudian ternyata ia tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan
berhubung jual beli matawang (bay' al-Sarf).
Di dalam feqah (ilmu yang menerangkan segala hukum syarak yang diambil
daripada Al-Quran dan Sunnah Rasululllah s.a.w.), ia meletakkan syarat akad
jual beli lain tidak boleh disekalikan dengan akad pinjaman. Ia dikenali dengan
permasalahan 'bayn wa salaf' iaitu jual beli berserta dengan pinjaman.
Pengharaman jual beli itu disepakati seluruh ulama berdasarkan hadis
Nabi SAW yang bermaksud: Tidak halal salaf (pinjaman) beserta jual beli".
(riwayat Abu Daud).
Hadis itu secara nyata menunjukkan haram menghimpunkan antara akad
pinjaman dan akad jual beli dalam satu akad.
Di dalam konteks perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum
larangan ini kerana broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage
kepada pedagang yang membuka posisi di platformnya sahaja.
Dan dimaklumi bahawa perdagangan forex adalah satu bentuk jual beli
iaitu pertukaran wang dengan wang, yang dinamakan 'bay Sarf', dan ia termasuk
dalam umum jual beli yang disebut dalam hadis.
Unsur kombinasi antara dua akad tersebut dikemukakan sebagai hujah oleh
Akademi Fiqh Islam yang memutuskan tidak membenarkan perniagaan berdasarkan
margin dalam satu resolusi yang dibuat pada persidangan ke-18 pada 12 April
2006.
Isu yang yang timbul daripada kewujudan unsur pinjaman daripada broker
ialah terdapatnya riba yang jelas melalui faedah atau bunga.
Selain itu, persidangan tersebut juga memutuskan bahawa caj rollover
yang dikenakan oleh penyedia platform spot forex terdapat unsur riba melalui
penerimaan atau pemberian faedah rollover oleh pedagang forex.
Selain isu halal dan haram, perdagangan matawang asing juga melibatkan
undang-undang Malaysia.
Sejak dahulu lagi, Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga
matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah.
Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan
tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1), (2) dan (3) Akta Kawalan
Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang melarang individu berurus niaga matawang
asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu
Gabenor Bank Negara Malaysia.
Manakala, muzakarah oleh kumpulan kedua pula merumuskan mengenai
perdagangan matawang asing dalam talian (forex online) adalah tidak dibenarkan
dalam Islam kerana terdapat perkara yang menyalahi hukum iaitu pembelian wang
tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan
kontrak sarf (perdagangan matawang asing) dan mengandungi unsur riba.
Unsur pemberian pinjaman yang terdapat dalam forex online oleh broker
turut tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur riba apabila broker itu
mendapat manfaat daripada pinjaman seperti syarat yang dikenakan.
Dalam masa sama, didapati juga urusniaga tersebut mengandungi unsur
perjudian apabila ia secara jelas bergantung kepada turun naik harga atau angka
yang ternyata dilarang oleh syarak.
Melalui perbincangan ilmiah itu kesedaran mengenai bahaya perniagaan
yang mempunyai unsur-unsur riba adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam
daripada memperoleh sumber rezeki yang meragukan dan bukannya berdasarkan
perasaan iri hati atau pun mempunyai kepentingan peribadi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz2Ffj14CK9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)