Keputusan
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum
Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual
Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan
seperti berikut:
Setelah mendengar
taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah
Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah
dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot
forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata
wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang
perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay
al-Sarf seperti berikut:
Syarat-syarat umum
jual beli:
1.
Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan
kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);
2.
Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh
kedua-dua pihak yang berakad;
3.
Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki
sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
4.
Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua
pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan
dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat-syarat
khusus Bay al-Sarf:
1.
Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang
terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan
transaksi berpisah daripada majlis akad;
2.
Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan
tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
3.
Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar
al-Syart.
Selain memenuhi
syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur
riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan
transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau
eksploitasi.
Berdasarkan kajian
terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot
forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui
pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang
melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan
mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian.
Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu,
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing
(forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom
elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan
kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras
dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam
perdagangan mata wang seumpama ini.
Muzakarah juga
menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus
niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan
urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh
institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.

No comments:
Post a Comment