Oleh SHARAIMEI
SHAIK AHMEDULLAH
PASTINYA ramai di antara kita pernah mendengar dan terjebak dalam
perdagangan matawang asing atau lebih dikenali sebagai 'forex'.
Sememangnya perniagaan tersebut cukup popular di kalangan masyarakat
hari ini kerana pulangannya yang cukup lumayan sehingga mampu mencecah ribuan
ringgit sebulan.
Forex ialah aktiviti yang melibatkan urusniaga satu matawang kepada
matawang yang lain. Para peniaga matawang asing mendapat keuntungan melalui
perbezaan harga beli dan harga jual sesuatu matawang.
Secara umumnya aktiviti tersebut dilakukan dengan beberapa kaedah.
Antaranya melabur dalam syarikat yang menjalankan forex di mana suatu jenis
perdagangan atau transaksi yang memperdagangkan matawang sesuatu negara
terhadap matawang negara yang lain selama 24 jam secara berterusan.
Atau kaedah lain pula ia dijalankan secara sendirian. Iaitu dengan
melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan
simpan.
Namun, tidak ramai yang mengetahui hukum menyertai perniagaan tersebut
sama ada dibolehkan atau sebaliknya.
Sebenarnya banyak pakar kewangan Islam ada membincangkan berkenaan
menyertai aktiviti tersebut. Bagaimanapun akibat tiada fatwa khusus yang
dikeluarkan.
Berdasarkan Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi
Kewangan Islam Malaysia yang bersidang baru-baru ini ada membincangkan secara
langsung hukum perniagaan itu.
Muzakarah tersebut dibahaskankan oleh dua kumpulan melalui tiga
pembentangan iaitu kumpulan pertama terdiri daripada penyelidik Akademi
Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Profesor Madya
Dr. Muhammad Som, Dr. Marjan Muhammad, Luqmanul Hakim Hussain dan Wan Norhaziki
Wan Abdul Halim.
Kumpulan kedua pula dianggotai penyelidik dari Universiti Utara Malaysia
iaitu Profesor Madya Dr. Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib dan Dr.
Muhammad Nasri Hussain.
Hasil daripada pembentangan kedua-dua kumpulan itu telah membangkitkan
beberapa isu penting yang menyebabkan aktiviti tersebut tidak dibenarkan dari
segi hukum syarak kerana terdapat unsur-unsur riba dan perjudian yang jelas
dilarang dalam Islam.
Muzakarah oleh kumpulan pertama itu membincangkan mengenai perdagangan
matawang individu secara lani (individual spot forex) yang dijalankan melalui
platform Internet.
Secara umumnya, untuk seseorang individu memulakan perdagangan matawang
asing secara dalam talian (online), beberapa perkara perlu disediakan iaitu
talian Internet, platform matawang asing dan akaun kewangan.
Lalu isu syariah yang timbul daripada spot forex itu apabila
diperincikan kepada syarat-syarat jual beli matawang asing antaranya pinjaman
(leverage atau qard), caj broker (rollover interest), penerimaan (Qabd),
menjual matawang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan
perjudian ternyata ia tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan
berhubung jual beli matawang (bay' al-Sarf).
Di dalam feqah (ilmu yang menerangkan segala hukum syarak yang diambil
daripada Al-Quran dan Sunnah Rasululllah s.a.w.), ia meletakkan syarat akad
jual beli lain tidak boleh disekalikan dengan akad pinjaman. Ia dikenali dengan
permasalahan 'bayn wa salaf' iaitu jual beli berserta dengan pinjaman.
Pengharaman jual beli itu disepakati seluruh ulama berdasarkan hadis
Nabi SAW yang bermaksud: Tidak halal salaf (pinjaman) beserta jual beli".
(riwayat Abu Daud).
Hadis itu secara nyata menunjukkan haram menghimpunkan antara akad
pinjaman dan akad jual beli dalam satu akad.
Di dalam konteks perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum
larangan ini kerana broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage
kepada pedagang yang membuka posisi di platformnya sahaja.
Dan dimaklumi bahawa perdagangan forex adalah satu bentuk jual beli
iaitu pertukaran wang dengan wang, yang dinamakan 'bay Sarf', dan ia termasuk
dalam umum jual beli yang disebut dalam hadis.
Unsur kombinasi antara dua akad tersebut dikemukakan sebagai hujah oleh
Akademi Fiqh Islam yang memutuskan tidak membenarkan perniagaan berdasarkan
margin dalam satu resolusi yang dibuat pada persidangan ke-18 pada 12 April
2006.
Isu yang yang timbul daripada kewujudan unsur pinjaman daripada broker
ialah terdapatnya riba yang jelas melalui faedah atau bunga.
Selain itu, persidangan tersebut juga memutuskan bahawa caj rollover
yang dikenakan oleh penyedia platform spot forex terdapat unsur riba melalui
penerimaan atau pemberian faedah rollover oleh pedagang forex.
Selain isu halal dan haram, perdagangan matawang asing juga melibatkan
undang-undang Malaysia.
Sejak dahulu lagi, Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga
matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah.
Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan
tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1), (2) dan (3) Akta Kawalan
Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang melarang individu berurus niaga matawang
asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu
Gabenor Bank Negara Malaysia.
Manakala, muzakarah oleh kumpulan kedua pula merumuskan mengenai
perdagangan matawang asing dalam talian (forex online) adalah tidak dibenarkan
dalam Islam kerana terdapat perkara yang menyalahi hukum iaitu pembelian wang
tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan
kontrak sarf (perdagangan matawang asing) dan mengandungi unsur riba.
Unsur pemberian pinjaman yang terdapat dalam forex online oleh broker
turut tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur riba apabila broker itu
mendapat manfaat daripada pinjaman seperti syarat yang dikenakan.
Dalam masa sama, didapati juga urusniaga tersebut mengandungi unsur
perjudian apabila ia secara jelas bergantung kepada turun naik harga atau angka
yang ternyata dilarang oleh syarak.
Melalui perbincangan ilmiah itu kesedaran mengenai bahaya perniagaan
yang mempunyai unsur-unsur riba adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam
daripada memperoleh sumber rezeki yang meragukan dan bukannya berdasarkan
perasaan iri hati atau pun mempunyai kepentingan peribadi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz2Ffj14CK9
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:
Post a Comment