Hukum Mempromosikan
Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah
Keputusan
Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang
bersidang pada 14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan
Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah. Muzakarah berpandangan
bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan
memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat
Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang
mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba.
Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses
transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.
English Version
The Ruling on Promoting
Conventional Products From Shariah Perspective
Decision:
The 89th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 14th -16th December 2009 has discussed the ruling on promoting conventional products from Shariah perspective. The Conference observed that Syariah based Takaful system is growing rapidly. This product needs support from Muslims to further develop the system of Islamic muamalat. Therefore, Muslims are prohibited from promoting conventional insurance products that are based on usury. However, income and commission gained during the transition period from the is conventional system to takaful acceptable.
Keterangan/Hujah:
Hukum terhadap insurans
konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana
ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.
Keharaman muamalah riba
tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah
mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf
al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah
dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.
Para sarjana Islam semasa
bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus
(direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi
SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan
keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya di sektor
ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :
" ما حرم أخذه حرم إعطأوه "
Maksud: Sesuatu yang
haram menerimanya juga diharamkan memberinya.
Dalam erti kata lain,
kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya,
haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan
membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.
Dalam kes mempromosi produk-produk
insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan
produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka
dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam daripada
terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud: ”Rasulullah
SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi
SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam konteks ini.
Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung
dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti
yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith
Nabi ini.
Terdapat juga pandangan
yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung”
institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana
menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.
Sistem insurans
berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang
bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah
oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.
Islam mengharamkan
umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana
riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan
mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba
adalah jelas dilarang oleh Islam.
Mereka yang bekerja dalam
mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah berusaha
dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses
peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh
Islam.

No comments:
Post a Comment